JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor mencabar PAS menamakan calon Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat sekiranya benar mahu mengambil alih kepimpinan Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu.
Pengerusinya, Aminolhuda Hassan, berkata kenyataan-kenyataan pemimpin PAS kebelakangan ini jelas menunjukkan hasrat parti itu untuk mendominasi blok pembangkang, namun kerusi Ketua Pembangkang masih disandang wakil Bersatu.
“Jika benar PAS mahu memimpin PN, langkah paling asas ialah mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang. Sampai sekarang, jawatan itu masih dipegang pemimpin Bersatu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
AMANAH Johor turut menegaskan keretakan dalaman PN semakin ketara apabila kedua-dua parti utama gabungan itu sering bercanggah dalam isu pengagihan kerusi, hala tuju pentadbiran negeri serta pendekatan politik nasional.
Menurut Aminolhuda, rakyat berhak tahu siapa sebenarnya yang memimpin PN serta dasar apa yang mahu dibawa gabungan itu.
“Politik perebutan kuasa tanpa agenda ekonomi dan kebajikan rakyat hanya membuang masa serta menambah kekeliruan,” tegasnya.
Beliau berkata sebagai parti dalam Kerajaan Perpaduan, AMANAH Johor memilih untuk memberi tumpuan kepada isu rakyat seperti kestabilan ekonomi, peluang pekerjaan dan kesejahteraan sosial, bukannya politik gopoh dan tamak kuasa.