KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah menyalurkan RM10 juta kepada Umno ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 2020.
Menurutnya, ketika itu Muhyiddin yang juga perdana menteri membantu Umno/BN yang kekurangan dana untuk menghadapi pilihan raya berkenaan.
“Waktu Muhyiddin jadi PM dan Bersatu dalam kerajaan, dia beri bantuan kepada sesiapa sahaja, termasuk Umno dan BN, walaupun mereka tidak bertanding bawah bendera PN dan akhirnya mengkhianati dia.
“Dalam PRN Sabah, Umno/BN tidak cukup dana dan Annuar Musa minta bantuan. Muhyiddin beri RM10 juta,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Tun Faisal mendakwa dana tersebut diserahkan oleh seorang pembantu Annuar kepada pegawai Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Hotel Magellan, Sabah.
Beliau berkata kenyataan itu dibuat sebagai menjawab tuduhan Setiausaha Agung Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, yang mendakwa PAS menerima dana daripada Bersatu semasa PRU15.
Tambah Tun Faisal, Muhyiddin memberi bantuan kewangan secara senyap tanpa menghina sesiapa, meskipun menyedari ada khabar angin Zahid dan beberapa pemimpin Umno lain merancang mengkhianatinya.
Isu pembiayaan parti kembali menjadi hangat selepas Muktamar PAS baru-baru ini, apabila Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyindir Bersatu yang didakwa bergantung pada dana PAS dalam PRU lalu.
Kenyataan itu kemudian dibalas bekas pembantu Muhyiddin, Marzuki Mohamad, yang mendakwa PAS sebenarnya menerima sumbangan besar daripada Bersatu sehingga menang 43 kerusi Parlimen.