ALOR SETAR – PAS bukan sahaja menafikan, malah mencabar Bersatu mendedahkan butiran jelas berhubung dakwaan parti itu menyalurkan sumbangan kewangan kepada PAS ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Naib Presiden PAS merangkap Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menegaskan partinya tidak bergantung kepada dana Bersatu.
Sebaliknya, kata Sanusi, PAS – khususnya di Kedah – menanggung sendiri kos pilihan raya menggunakan sumbangan ahli, termasuk kutipan di peringkat unit peti undi (UPU) dan derma tradisi “tin Milo” semasa program parti.
“Tanya dia duit itu bagi dekat siapa? Saya pun teringin nak tahu,” katanya sambil menyindir kenyataan bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad.
Sanusi berkata PAS Kedah bukan sahaja membiayai jentera sendiri, malah membantu calon Bersatu dengan menyediakan kelengkapan dan peralatan kempen. Namun, menurutnya, hanya seorang calon yang membayar semula kos tersebut.
Beliau memberi reaksi selepas Marzuki mendakwa Bersatu menanggung perbelanjaan PN sepanjang PRU15, termasuk memberikan sumbangan kewangan yang besar kepada PAS.
Sanusi sebelum ini turut menyindir Bersatu kerana dianggap menumpang jentera PAS untuk bertanding dalam pilihan raya, namun masih mahu menjadi peneraju PN. Katanya, PAS mempunyai banyak lagi isu yang boleh didedahkan berkaitan kerjasama kedua-dua parti itu.