Subsidi RON95: Semua Rakyat Dapat Harga RM1.99 Seliter Hingga 300 Liter Sebulan

PUTRAJAYA – Bermula 30 September ini, semua rakyat Malaysia yang memiliki lesen memandu sah layak membeli petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter, tanpa had pendapatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata subsidi itu ditetapkan sehingga 300 liter sebulan bagi setiap individu, manakala pemandu e-hailing dikecualikan daripada had berkenaan.

“Purata rakyat Malaysia guna sekitar 100 hingga 200 liter petrol sebulan. Paling tinggi 250 liter, jadi 300 liter sudah mencukupi,” katanya dalam pertemuan bulanan bersama kakitangan Jabatan Perdana Menteri hari ini.

Beliau turut berseloroh, “kecuali kalau ada isteri pertama di Gombak dan isteri kedua di Seremban.”

Pelaksanaan Berperingkat
Anwar menjelaskan pelaksanaan subsidi bersasar akan dijalankan berperingkat:

  • 27 Sept: Anggota tentera dan polis mula menerima subsidi.
  • 28 Sept: Disusuli penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
  • 30 Sept: Pelaksanaan penuh untuk semua rakyat.

Beliau berkata langkah itu bagi mengelakkan gangguan sistem seperti yang berlaku dalam pengagihan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) sebelum ini.

Tak Perlu Daftar, Guna MyKad
Rakyat tidak perlu membuat pendaftaran untuk menikmati subsidi ini. Hanya MyKad perlu digunakan di pam stesen minyak atau kedai, manakala aplikasi seperti Touch ‘n Go dan Setel juga boleh digunakan kerana mempunyai pengesahan identiti digital (eKYC).

Warga asing yang menggunakan kenderaan berdaftar di Malaysia akan membayar harga pasaran, dianggarkan RM2.60 seliter, manakala kenderaan berdaftar luar negara kekal hanya boleh menggunakan RON97.

Menurut Anwar, lebih 16 juta rakyat Malaysia dijangka mendapat manfaat daripada langkah ini berdasarkan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Hasil Dikembalikan Kepada Rakyat
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa penjimatan daripada reformasi subsidi akan dikembalikan semula kepada rakyat melalui pembangunan infrastruktur dan langkah kesejahteraan lain, termasuk projek tebatan banjir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *