JOHOR BAHRU – Angkatan Wanita Amanah (AWAN) Johor menegaskan kesediaan penuh untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Ketua AWAN Johor, Norhayati Bidin, berkata langkah itu wajar dipertimbangkan selepas Parti MUDA membuat keputusan keluar daripada Kerajaan Perpaduan, sekali gus membuka ruang perundingan baharu dalam Pakatan Harapan (PH).
Menurut beliau, persediaan AWAN Johor bukan sekadar spontan tetapi telah dibuat sejak sekian lama, termasuk memperkukuh jentera akar umbi, membina agenda masyarakat serta merangka dasar yang progresif dan inklusif untuk rakyat di kawasan berkenaan.
“Kami yakin proses rundingan kerusi dalam PH akan berlangsung dengan penuh persefahaman. AWAN Johor bersedia mengisi kekosongan ditinggalkan MUDA dengan menampilkan calon yang berwibawa serta mampu membawa suara rakyat Puteri Wangsa secara lebih dekat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Fokus Kepada Isu Setempat
Norhayati menegaskan AWAN Johor komited memperbetulkan kelemahan kepimpinan lalu, khususnya dalam aspek penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Antara tumpuan utama ialah mendekati golongan belia, memperkukuh jaringan komuniti setempat, selain memberi perhatian serius kepada isu wanita, keluarga muda dan kesejahteraan ekonomi penduduk.
“Kepimpinan wanita mampu membawa pendekatan berbeza – lebih empati, telus dan berkesan dalam menyelesaikan cabaran masyarakat. Kami yakin kepelbagaian ini akan mengukuhkan lagi PH di Johor,” jelasnya.
Latar Puteri Wangsa
Kerusi DUN Puteri Wangsa sebelum ini ditandingi Parti MUDA dalam PRN Johor 2022 menerusi peruntukan kerusi Pakatan Harapan. Susulan MUDA menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan, kerusi itu dijangka menjadi antara fokus rundingan semula sesama parti komponen PH.
AMANAH Johor, melalui sayap wanita, percaya peluang ini mampu dimanfaatkan untuk memastikan Puteri Wangsa terus dipimpin kerajaan progresif yang menekankan pembangunan seimbang dan kesejahteraan rakyat.