Pesara Polis Wanita Lari Sekatan Sejauh 50KM, Rupanya Simpan Pil Ekstasi

REMBAU – Tindakan seorang pesara polis wanita melarikan diri hampir 50 kilometer daripada pemeriksaan polis membongkar kegiatan memiliki dadah selepas pihak berkuasa menemukan pil disyaki ekstasi dalam keretanya, Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, wanita berusia 65 tahun berkenaan dipercayai terlebih dahulu melanggar dua kenderaan di Taman Sedia Raja, Chembong sebelum memecut melarikan diri ke arah Melaka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Azmi Ali berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai sebuah Honda City yang melanggar beberapa kenderaan sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.

Menurut beliau, anggota Rondaan Pelbagai Guna (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau yang menuju ke lokasi kemudian terserempak dengan kereta suspek dan cuba menahannya.

“Bagaimanapun, suspek enggan memberi kerjasama sebelum bertindak melarikan diri,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Katanya, hasil kerjasama anggota ronda Balai Polis Kota bersama pasukan MPV Alor Gajah dan Melaka Tengah, kenderaan suspek berjaya dipintas dan ditahan di Jalan Bukit Beruang, Melaka kira-kira jam 11.40 malam.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kereta menemui sebuah beg mengandungi satu paket plastik lutsinar berisi empat pil disyaki dadah jenis ekstasi,” ujarnya.

Tambah beliau, pemeriksaan mendapati wanita terbabit merupakan seorang pesara polis.

Ujian saringan air kencing ke atas suspek turut mendapati wanita itu positif dadah jenis amphetamine.

Siasatan lanjut turut mendapati kereta dipandu suspek terlibat dalam dua kemalangan jalan raya di daerah Rembau membabitkan sebuah Toyota Hiace dan Perodua Viva.

Bagaimanapun, kedua-dua pemandu terlibat dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah dan permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Selasa bagi membantu siasatan lanjut.

One thought on “Pesara Polis Wanita Lari Sekatan Sejauh 50KM, Rupanya Simpan Pil Ekstasi

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *