ALOR SETAR – Bahang konflik Asia Barat kini mula dirasai hingga ke peringkat negeri apabila Kerajaan Negeri Kedah memberi bayangan awal langkah penjimatan ketat bakal dilaksanakan dalam masa terdekat.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata satu arahan rasmi berkaitan kawalan perbelanjaan akan dikeluarkan sebaik sahaja persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) selesai.
Menurut beliau, langkah itu diambil susulan ketidaktentuan ekonomi global yang berpunca daripada konflik di Asia Barat, sekali gus memberi kesan langsung kepada kenaikan kos bahan api dan perbelanjaan kerajaan.
“Kerajaan negeri mengambil maklum perkembangan semasa yang memberi tekanan kepada ekonomi. Kita perlu lebih berhemat dan elakkan sebarang ketirisan serta kesilapan yang boleh merugikan negeri,” katanya ketika sesi penggulungan sidang DUN di Wisma Darul Aman, hari ini.
Tambah beliau, langkah penjimatan ini juga selari dengan titah Sultan Kedah yang menekankan keperluan mengutamakan perbelanjaan berasaskan keperluan, bukan kehendak.Dalam masa sama, kerajaan negeri akan memberi fokus kepada sektor yang mampu memberi kesan langsung kepada ekonomi rakyat serta meningkatkan hasil negeri.
“Keutamaan akan diberikan kepada perbelanjaan yang memberi impak kepada ekonomi domestik dan manfaat terus kepada rakyat,” jelasnya lagi.Sanusi turut memberi bayangan bahawa kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan langkah tambahan akan diperkenalkan sekiranya keadaan ekonomi terus tidak menentu dalam beberapa bulan akan datang.
“Jika rakyat terus terkesan, kita akan semak semula keperluan dan ambil tindakan sewajarnya untuk merangsang semula ekonomi,” katanya.Sidang DUN Kedah bagaimanapun ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
Situasi ini memberi isyarat jelas bahawa kesan konflik global kini semakin dekat dengan kehidupan rakyat di peringkat negeri dan langkah berjimat cermat bukan lagi pilihan, tetapi keperluan.