Rafizi Lead Demo Tekan Kerajaan, Ajak Rakyat Turun Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli tampil dengan nada lebih keras apabila menyelar kumpulan demonstran yang disifatkannya sebagai “penakut”, sambil mengajak rakyat menyertai protes besar-besaran pada 25 April ini.

Dalam satu hantaran media sosial, bekas Menteri Ekonomi itu menggesa rakyat turun ke Dataran Merdeka bagi menyertai himpunan “Tangkap Azam Baki” yang bertujuan menuntut peletakan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.

Menurut Rafizi, sudah tiba masanya rakyat menunjukkan keberanian sebenar, bukan sekadar turun berhimpun secara berselindung.“Saya akan turun bersama anak muda dan rakyat Malaysia yang mahu negara ini bebas daripada rasuah.“Bila badan yang sepatutnya membanteras rasuah dilihat menjadi alat untuk menekan pihak tertentu, maka SPRM perlu diperbetulkan,”katanya.

Beliau menegaskan, perubahan hanya boleh bermula dengan penggantian kepimpinan tertinggi agensi itu.

Dalam kenyataan sama, Rafizi turut membidas segelintir peserta demonstrasi terdahulu yang bertindak menutup muka ketika berhimpun.

Katanya, tindakan itu bukan sahaja mencalar maruah gerakan, malah menunjukkan ketiadaan keberanian dalam memperjuangkan idealisme.“Takut nak tunjuk muka. Malu-malu. Bila ditanya, alasan ‘sebab habuk’. Hakikatnya ramai yang dah lama dalam politik, lompat sana sini.“Jom kita tunjukkan demo sebenar – berani, terbuka dan jelas pendirian,” katanya lagi.

Isu membabitkan Azam terus menjadi perhatian selepas laporan media antarabangsa dan tempatan mendakwa beliau memiliki pegangan saham yang besar dalam dua syarikat, melebihi had dibenarkan bagi penjawat awam.

Kerajaan sebelum ini menubuhkan jawatankuasa khas yang diketuai Peguam Negara untuk meneliti perkara tersebut, namun hasil penuh siasatan tidak didedahkan kepada umum walaupun telah dibentangkan kepada Kabinet.

Dalam masa sama, beberapa agensi termasuk polis, LHDN, SPRM dan Suruhanjaya Sekuriti turut diarahkan menjalankan siasatan berkaitan dakwaan wujudnya “mafia korporat”.

SPRM bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut, menyifatkannya sebagai tidak berasas dan sebahagian daripada usaha menjatuhkan reputasi agensi itu.

Dengan tarikh 25 April semakin hampir, tumpuan kini terarah kepada sejauh mana seruan Rafizi mampu menggerakkan rakyat – sama ada sekadar retorik politik, atau benar-benar mencetuskan gelombang di jalanan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *