Anwar nasihat rakyat berjimat cermat hadapi ketidaktentuan ekonomi global

PULAU PINANG – Perdana Menteri Anwar Ibrahim menasihati rakyat supaya merancang perbelanjaan dengan lebih berhati-hati serta mengamalkan sikap berjimat cermat sebagai langkah persediaan menghadapi kemungkinan ketidaktentuan ekonomi global.

Beliau berkata walaupun keadaan ekonomi negara ketika ini masih terkawal, perkembangan geopolitik antarabangsa khususnya konflik di Asia Barat berpotensi menjejaskan rantaian bekalan dunia dan memberi tekanan kepada harga barangan.

Menurutnya, situasi global yang tidak menentu ketika ini tidak boleh dipandang ringan kerana banyak negara terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam konflik yang memberi kesan kepada ekonomi dunia.

“Saya sengaja membangkitkan soal antarabangsa ini kerana tidak mahu kita alpa. Walaupun kita berasa selesa, gambaran dunia ketika ini sedang kacau bilau dengan puluhan negara terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam kancah peperangan,” katanya ketika merasmikan Masjid Mengkuang Titi sempena Sambutan Majlis Nuzul al-Quran.

Anwar berkata harga minyak dunia kini meningkat hampir dua kali ganda susulan ketegangan yang berlaku akibat konflik melibatkan Iran, United States dan Israel.

Beliau turut memaklumkan sekatan terhadap kapal-kapal besar yang membawa minyak dan gas di Selat Hormuz menyebabkan lebih 200 kapal terkandas, sekali gus meningkatkan kos logistik dan memberi kesan kepada harga barangan keperluan.

Menurutnya, kenaikan kos tersebut turut menjejaskan harga makanan dan baja yang diimport dari Ukraine, Russia serta beberapa negara Eropah.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan sedang berusaha mencari jalan bagi menangani situasi tersebut, termasuk mengekalkan subsidi bagi mengawal harga barangan keperluan.

“Namun saya bertanggungjawab memberikan peringatan awal agar kita cermat, belajar berjimat dan menyimpan. Kita mahu pertahankan harga subsidi, tetapi kita tidak tahu berapa lama ia boleh bertahan kerana harga minyak dunia yang melambung,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati rakyat supaya tidak berbelanja secara berlebihan khususnya dalam bulan Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *