‘Tak payah masuk balik’ Hamzah tolak pelawaan UMNO

Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin menegaskan beliau tidak bercadang untuk kembali menyertai Umno walaupun parti itu membuka pintu seluas-luasnya kepada bekas ahli melalui gagasan “Rumah Bangsa”.

Ahli Parlimen Larut itu berkata, keputusannya jelas dan beliau lebih memilih untuk terus bergerak ke hadapan bersama agenda politik baharu yang menurutnya lebih penting untuk masa depan negara.

“Tak payahlah masuk (Umno semula),” katanya secara ringkas ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Pembangkang yang turut dihadiri beberapa pemimpin parti lain.

Hamzah menjelaskan fokus utamanya kini adalah mengajak semua parti politik, termasuk Umno, untuk bekerjasama dalam satu usaha besar yang digelar sebagai agenda ‘reset’ negara.

Menurutnya, keadaan politik dan pentadbiran negara ketika ini memerlukan pembetulan yang berani serta kerjasama merentas parti bagi memastikan kestabilan dan hala tuju baharu dapat dicapai.

Beliau turut mendedahkan bahawa usaha tersebut bukan digerakkan secara bersendirian, sebaliknya mendapat sokongan daripada pemimpin pelbagai parti politik.

Hamzah percaya gabungan kekuatan daripada pelbagai pihak amat diperlukan jika negara benar-benar mahu melakukan perubahan besar serta mencari penyelesaian kepada isu-isu semasa yang semakin mencabar.

Terdahulu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyatakan parti itu terbuka menerima kembali bekas ahli melalui gagasan Rumah Bangsa.

Namun sebelum ini, bekas Setiausaha Agung BN Annuar Musa yang kini bersama PAS juga menolak kemungkinan kembali kepada Umno, malah menegaskan beliau lebih selesa berada dalam parti Islam itu dan yakin ramai bekas ahli Umno yang menyertai PAS akan kekal bersama perjuangan mereka.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *