Puteri Aishah derita komplikasi jantung dan organ dalaman, terima ziarah Kasih Ramadan

JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, Puteri Aishah binti Mohd Hafiz, diuji dengan komplikasi kesihatan serius melibatkan jantung dan organ dalaman sejak kecil.

Difahamkan, keadaan Puteri Aishah amat jarang berlaku apabila usus, perut dan paru-parunya berada dalam kedudukan terbalik selain jantung mempunyai empat ruang namun tidak mempunyai injap oksigen yang sempurna serta hanya satu saluran darah ke paru-paru.

Keadaan itu menyebabkan Puteri Aishah terpaksa berdepan pelbagai komplikasi kesihatan yang memerlukan perhatian dan rawatan berterusan daripada pihak perubatan.

Kisah Puteri Aishah antara yang diziarahi dalam Program Kasih Ramadan yang diketuai Dr Norsham Idris, ahli Kasih Malaysia yang juga isteri kepada Ahli Parlimen Pulai. Turut bersama dalam program tersebut ialah barisan penggerak wanita Parlimen Pulai yang turun padang menyantuni keluarga yang memerlukan.

Dalam kunjungan itu, keluarga Puteri Aishah turut menerima sumbangan barangan keperluan dapur serta sedikit bantuan wang tunai bagi meringankan beban harian mereka.

Menurut Dr Norsham, program ziarah itu menjadi ruang untuk melihat sendiri keadaan masyarakat yang memerlukan perhatian. “Ramadan adalah waktu terbaik untuk kita berkongsi rezeki dan menyantuni mereka yang diuji dengan kesusahan. Semoga sedikit sumbangan ini dapat meringankan beban keluarga serta memberi semangat kepada mereka,” katanya.

Selain keluarga Puteri Aishah, rombongan tersebut turut menziarahi hampir 10 buah rumah sekitar Parlimen Pulai dalam usaha menyampaikan sumbangan serta bertanya khabar golongan yang memerlukan.

Dr Norsham Idris bersama Penggerak Wanita Parlimen Pulai bergambar bersama penerima bantuan sempena program Ziarah Ramadan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *