Menyantuni komuniti, menyemai nilai Rahmah di Puteri Wangsa.

PUTERI WANGSA – Semangat kebersamaan dan keprihatinan jelas terpancar dalam Program Semarak Ramadan 2026 yang berlangsung meriah di Surau Al-Huda, Jalan Nibong 48, Taman Daya, hasil anjuran Pertubuhan Inspirasi Rahmah Negeri Johor dengan kerjasama Pengurusan Penduduk Nibong 48 (PPN48) dan Surau Al-Huda.

Program yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 8 malam itu berjaya menghimpunkan kira-kira 150 peserta dalam pelbagai aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan, dengan sokongan padu daripada YB Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Datuk Aiman Athirah serta sokongan dari Ahli Parlimen Pulai, YB Suhaizan Kaiat.

Seawal pagi, suasana gotong-royong memasak bubur lambuk menjadi simbol perpaduan apabila komuniti setempat berganding bahu menyediakan juadah tradisi Ramadan. Bubur lambuk tersebut kemudiannya diagihkan kepada sekitar 600 pengunjung di kawasan Taman Daya dan Taman Puteri Wangsa, mencerminkan semangat berkongsi rezeki.

Program turut memberi fokus kepada golongan memerlukan melalui sesi ziarah ke lima rumah asnaf melibatkan ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit terlantar. Mereka menerima sumbangan Bakul Rahmah Ramadan Kareem (BRRK) berserta bantuan kewangan hasil dana awam yang diuruskan NGO.

Selain itu, majlis penyampaian sumbangan turut melibatkan 25 penerima asnaf sekitar PPN48, termasuk golongan miskin dan pesakit, sekaligus meringankan beban menjelang Aidilfitri. Dalam usaha memperkasa ibadah, sebanyak 100 helai wakaf telekung diagihkan kepada wakil dari 10 daerah seluruh Johor.

Tidak ketinggalan, dua imam tarawih yang juga pelajar tahfiz menerima sumbangan tunai berjumlah RM1,200 sebagai penghargaan terhadap peranan mereka dalam memakmurkan Ramadan.

Kemuncak program diserikan dengan majlis berbuka puasa yang menghimpunkan kira-kira 100 jemaah terdiri daripada kariah surau, penerima sumbangan dan wakil NGO, ditaja oleh Timbalan Menteri KPKT.

Menurut penasihat Pertubuhan Inspirasi Rahmah Negeri Johor, Pn Norhayati Bidin, program seumpama ini akan diteruskan pada masa hadapan dengan kerjasama lebih erat antara pihak surau dan penduduk setempat. Beliau menegaskan kepentingan mendekati komuniti, khususnya wanita, bagi memahami serta mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang dihadapi mereka.

Sementara itu, Pn Masyitah Ismail menyampaikan salam daripada Timbalan Menteri KPKT, Aiman Athirah Sabu, yang menekankan bahawa Ramadan merupakan madrasah terbaik dalam mendidik jiwa.

Beliau turut mengingatkan bahawa walaupun sumbangan Bakul Rahmah tidak besar, ia membawa makna yang cukup besar kepada penerima dalam membuat persiapan Aidilfitri. “Nilai sebenar Ramadan bukan hanya pada ibadah, tetapi pada rasa rahmah, kepedulian dan kebersamaan yang dizahirkan melalui tindakan membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Program Semarak Ramadan 2026 bukan sahaja berjaya menyantuni golongan asnaf, malah memperkukuh hubungan komuniti serta menyemai nilai kasih sayang yang menjadi tunjang kepada keharmonian masyarakat.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *