KUALA LUMPUR – Perbicaraan melibatkan Muhyiddin Yassin hari ini menyaksikan pendedahan aliran wang berjumlah RM5 juta yang dimasukkan ke akaun milik Bersatu, berdasarkan keterangan saksi bank di Mahkamah Tinggi.
Penolong Pengurus CIMB Bukit Tunku, Herdayanti Md Hasan, memaklumkan beberapa transaksi melibatkan cek atas nama ahli perniagaan Azman Yusoff telah dikeluarkan antara September 2021 hingga November 2022 sebelum dimasukkan ke akaun parti tersebut.
Bagaimanapun, beliau mengakui tidak mengetahui tujuan sebenar pengeluaran cek berkenaan, walaupun mengesahkan semua transaksi direkodkan secara rasmi melalui sistem perbankan.
Sementara itu, seorang lagi saksi dari Maybank, Alfian Othman, turut mengesahkan transaksi RM1 juta oleh syarikat Nepturis Sdn Bhd yang dilunaskan kepada Bersatu pada Februari 2022.
Ketika disoal pihak pembelaan, kedua-dua saksi bersetuju bahawa pembayaran melalui cek adalah telus dan mempunyai rekod jelas, serta tidak menunjukkan sebarang unsur tersembunyi dalam transaksi tersebut.
Muhyiddin, 78, kini berdepan tujuh pertuduhan termasuk salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram melibatkan ratusan juta ringgit berkaitan projek Jana Wibawa.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin akan bersambung pada 28 April ini.