KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail dan akhbar Harakah memohon maaf secara terbuka kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung kenyataan fitnah yang dikeluarkan pada 2023.
Permohonan maaf itu direkodkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas kedua-dua pihak mencapai penyelesaian melalui penghakiman persetujuan.
Zulkifli berkata, pihaknya mengakui kenyataan berkenaan telah menimbulkan salah faham serta menjejaskan reputasi Fadhlina, selain bersetuju menarik balik sepenuhnya semua dakwaan tanpa syarat.
Mahkamah turut memerintahkan pihak defendan membayar kos sebanyak RM15,000 kepada Fadhlina.
Kes tersebut berkaitan dakwaan kononnya larangan laungan takbir dan bacaan Qunut Nazilah di sekolah sempena Minggu Solidariti Palestin, yang kemudian disahkan tidak benar.
Sementara itu, Fadhlina meluahkan rasa syukur dan lega selepas namanya dibersihkan, serta memaklumkan jumlah pampasan yang diterima akan digunakan bagi menyokong kempen Solidariti Palestin di Jasin.