PUTRAJAYA : Kerajaan sedang memperhalusi mekanisme subsidi petrol bersasar termasuk menentukan golongan yang layak terus menerima subsidi dan mereka yang bakal dikeluarkan daripada sistem tersebut.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata kerajaan kini meneliti garis pemisah sesuai melibatkan kategori seperti T15, T20 dan kumpulan lain.
Menurut beliau, kerajaan mahu memastikan pelaksanaan subsidi bersasar tidak memberi kejutan besar kepada rakyat yang masih memerlukan bantuan.
Katanya, perkara itu sudah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara susulan usaha kerajaan menambah baik kaedah pemberian subsidi supaya lebih tepat kepada kumpulan sasaran.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sebelum ini memaklumkan kerajaan masih belum memuktamadkan kategori yang akan terlibat dalam semakan subsidi petrol.
Kerajaan juga sedang meneliti penggunaan data pendapatan dan faktor lain sebelum keputusan akhir dibuat termasuk mekanisme rayuan bagi memastikan pelaksanaan lebih telus dan mudah diterima rakyat.
Menurut Akmal, kerajaan berharap mekanisme baharu itu dapat dimuktamadkan sebelum bulan baharu bermula bagi memudahkan kesiapsiagaan sistem pelaksanaan.