PUTRAJAYA : Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Azam Baki, mengakui tidak akan memaafkan pihak yang menyerang dirinya serta keluarga sepanjang beliau memimpin SPRM.
Dalam ucapan persaraan yang penuh emosi, Azam kelihatan sebak ketika mengenang pengorbanan ibu bapanya serta sokongan isteri dan anak-anak yang turut berdepan tekanan dan serangan awam.
Beliau berkata keluarga terpaksa menanggung pelbagai kecaman dan situasi sukar sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Azam turut merakamkan penghargaan kepada pegawai SPRM yang berkhidmat bersamanya serta memohon maaf atas sebarang kekurangan sepanjang mengetuai agensi itu.
Kontrak perkhidmatan Azam tamat hari ini selepas mencapai usia 63 tahun dan jawatannya akan digantikan oleh bekas hakim, Abdul Halim Aman.
Sepanjang tempoh mengetuai SPRM, Azam turut berdepan beberapa kontroversi termasuk isu pegangan saham dan siasatan terhadap dirinya.