MELAKA – Barisan Nasional (BN) Melaka memberi bayangan mahu terus mengekalkan barisan pemimpin muda bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sekali gus mencetuskan persoalan sama ada nama-nama lama bakal digugurkan.
Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pemimpin generasi baharu yang dipilih pada PRN lalu menunjukkan prestasi serta perkhidmatan yang baik kepada rakyat. Menurut beliau, barisan pemimpin berusia 50 tahun ke bawah berjaya menampilkan semangat kerja berpasukan dan kesepakatan sepanjang tempoh pentadbiran. “Kalau kita tengok, semua generasi baru yang dipilih pada penggal lepas boleh meneruskan perkhidmatan terbaik,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Bomba Sedunia Peringkat Parlimen Masjid Tanah pada Rabu.
Bagaimanapun, Ketua Menteri Melaka itu menegaskan masih belum tiba masanya untuk menentukan siapa yang akan dikekalkan atau digugurkan. “Senarai calon dah lama saya pendekkan. Saya tak pernah panjangkan nama calon ini. Jadi tunggu masa untuk kita umumkan,” katanya secara berseloroh.
Mengulas cadangan agar PRN Johor dan Melaka diadakan serentak, beliau berkata situasi politik setiap negeri adalah berbeza dan Melaka perlu menentukan pendekatan terbaik mengikut acuan sendiri.