Konvensyen PH Menjadi Pentas Penentuan Hala Tuju PRN Johor, Melaka

Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 Ahad ini dilihat menjadi pentas penting dalam menentukan hala tuju gabungan itu termasuk persediaan menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka tahun ini.

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, konvensyen pertama selepas empat tahun itu juga disifatkan sebagai ‘paluan gendang perang pertama’ menjelang pilihan raya akan datang.

Menurut beliau, amanat Pengerusi PH merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka memberi gambaran jelas mengenai arah tuju gabungan tersebut.“Sudah pasti amanat pimpinan utama Pakatan Harapan ini akan meletakkan hala tuju dan landasan dalam pelbagai perkara yang akan disusuli oleh jentera pilihan raya PH,” katanya.

Konvensyen yang dijadual berlangsung di Persada Johor Bahru itu bakal menghimpunkan lebih 3,000 perwakilan daripada PKR, Amanah dan DAP seluruh negara.

Fahmi berkata, Perdana Menteri juga dijangka menyentuh kejayaan kerajaan MADANI dalam menyelesaikan isu rakyat termasuk pelaksanaan reformasi dan penyelarasan subsidi.

Selain amanat pimpinan utama, konvensyen sehari itu turut menampilkan forum serta podcast melibatkan sayap Wanita dan Pemuda PH.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *