JOHOR BAHRU: PAS menegaskan dakwaan parti itu tidak akan bertanding di Johor pada pilihan raya akan datang hanyalah permainan persepsi politik yang sengaja dimainkan pihak tertentu.
Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, penyebaran dakwaan tersebut dipercayai bertujuan melemahkan keyakinan penyokong dan mengelirukan rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) serta PRU16.
Menurut beliau, PAS tetap komited memperkukuhkan jentera dan gerak kerja politik di Johor bersama Perikatan Nasional (PN).
“Ini hanya permainan persepsi politik untuk menggambarkan PAS lemah atau tidak mempunyai pengaruh di Johor,” katanya.
Beliau turut menegaskan segala keputusan berkaitan kerusi dan strategi pilihan raya akan diputuskan pimpinan tertinggi parti bersama PN pada masa sesuai.
Katanya, PAS Johor ketika ini terus aktif mendekati rakyat dan memperkukuhkan sokongan di pelbagai kawasan termasuk kerusi campuran dan bandar.
Isu tersebut timbul selepas tersebar dakwaan kononnya PAS akan memberi laluan kepada parti lain di Johor pada pilihan raya akan datang.