‘JANGAN HINA NABI DAN AGAMA KAMI’ PEMUDA UMNO BERANG

Pemuda UMNO Pekan menggesa pihak berkuasa bertindak tegas terhadap seorang pelajar institusi pengajian tinggi yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam dalam bulan Ramadan.

Isu berkenaan mencetuskan kemarahan ramai selepas beberapa hantaran di media sosial tular dan mengundang reaksi keras netizen.Pergerakan itu menyifatkan tindakan terbabit sebagai melampaui batas kebebasan bersuara dan tidak boleh dipandang ringan.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed menegaskan siasatan mesti dilakukan secara menyeluruh, profesional dan tanpa kompromi.Beliau berkata tindakan undang-undang wajar dipertimbangkan di bawah Seksyen 298A dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, sekiranya terdapat unsur penghinaan dan hasutan yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.

Kontroversi menjadi lebih panas apabila individu terbabit sebelum ini dilihat menyeru perbincangan sihat dan berhujah dengan fakta, namun kemudiannya memuat naik status provokatif serta kata-kata kesat. Perubahan nada itu menimbulkan persoalan dalam kalangan warga maya, malah ada yang menyifatkannya sebagai cubaan mencetuskan provokasi ketika umat Islam sedang menjalani ibadah Ramadan.

Pemuda UMNO Pekan menegaskan bahawa tindakan tegas perlu diambil bukan sekadar untuk menghukum, tetapi sebagai pengajaran agar insiden serupa tidak berulang.

Dalam suasana masyarakat majmuk, sensitiviti agama kekal sebagai garis merah yang tidak boleh disentuh sewenang-wenangnya dan isu ini dijangka terus menjadi perhatian sehingga tindakan rasmi diumumkan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *