UMNO tegur PH perlu cermin diri sebelum nak berlawan untuk PRU 16

Oleh : Amni Jagat

UMNO Terengganu memberi bayangan terbuka bahawa mereka tiada masalah untuk memberi laluan kepada Amanah mencabar Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Ahmad Samsuri Mokhtar di Parlimen Kemaman pada PRU16.

Timbalan Pengerusinya, Nik Dir Nik Wan Ku berkata, dalam konteks kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), mana-mana parti dalam gabungan itu bebas untuk bertanding di kerusi yang diyakini mampu dimenangi.

Menurutnya, jika PH termasuk Amanah dan PKR merasakan mereka mempunyai kekuatan jentera serta sokongan mencukupi, UMNO tidak akan menghalang. “Kalau PH yakin boleh menang, tak ada masalah nak tanding termasuk di Kemaman.

Kita pun bukan tamak kerusi dalam keadaan sekarang,” katanya, mengulas keyakinan Amanah untuk mencabar kubu kuat PAS di negeri itu.

Bagaimanapun, Nik Dir turut mengingatkan PH supaya “cermin diri” dan menilai kemampuan sebenar sebelum membuat keputusan besar. Katanya, berdasarkan rekod lalu, tahap sokongan PH di Terengganu masih lemah berbanding UMNO yang mempunyai akar umbi dan jentera lebih tersusun. “BN sebelum letak calon, kita tengok kekuatan, jumlah ahli dan jentera. Kalau tak ada kekuatan akar umbi, susah nak menang,” tegasnya.

Kenyataan itu hadir susulan keyakinan Naib Ketua Amanah Terengganu Zamir Ghazali yang mendakwa mampu memberi saingan kepada Samsuri di Kemaman, selepas berjaya mengekalkan deposit di DUN Batu Buruk pada PRN 2023.

Namun realitinya, pada PRK Kemaman 2023, Samsuri mencatat kemenangan besar dengan majoriti 37,220 undi, sekali gus menegaskan dominasi PN dan PAS di negeri tersebut.

Mengakui hakikat UMNO belum cukup kuat untuk menawan semula Terengganu, Nik Dir berkata parti itu kini memberi tumpuan kepada empat Parlimen iaitu Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Kemaman sebagai persediaan PRU16.

Bagi kerusi DUN pula, UMNO menyasarkan tujuh hingga lapan kerusi sahaja. Dengan PN menyapu bersih semua 32 DUN dan lapan Parlimen sebelum ini, persoalannya kini mampukah strategi baharu BN-PH menggugat dominasi itu pada pilihan raya akan datang?

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *


Notice: ob_end_flush(): Failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/arusmala/public_html/wp-includes/functions.php on line 5481