AMANAH Johor sasar Dun Naharani, bersedia cabar pas dalam PRN akan datang

JOHOR BAHRU — Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Sr Dzulkefly Ahmad menegaskan parti itu bersedia sepenuhnya untuk menggerakkan seluruh jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, termasuk menyasarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani sebagai antara kerusi utama untuk ditawan.

Menurut beliau, DUN Maharani yang kini dimenangi PAS dilihat sebagai kawasan strategik yang mempunyai potensi besar untuk dimenangi semula berdasarkan rekod lalu dan sokongan akar umbi.

Katanya, keputusan pilihan raya sebelum ini telah menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan sebahagian pengundi apabila isu kebajikan rakyat serta pembangunan setempat didakwa tidak diberi perhatian sewajarnya oleh wakil rakyat sedia ada.

“DUN Maharani pernah dimenangi Amanah pada PRU ke-14, dan ini membuktikan kita mempunyai asas sokongan yang kuat serta keupayaan untuk kembali merampas kerusi tersebut,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa DUN Maharani merupakan antara empat kerusi yang dimenangi Perikatan Nasional (PN) dan MUDA dalam PRN lalu selain Puteri Wangsa, Endau dan Bukit Serampang, dan berdasarkan pembahagian kerusi Pakatan Harapan ketika itu, Maharani merupakan kerusi yang diperuntukkan kepada Amanah.

Sehubungan itu, Dzulkefly berkata Amanah Johor berhasrat untuk kembali bertanding di DUN berkenaan bagi mengembalikan suara rakyat yang lebih progresif, inklusif serta berorientasikan kebajikan.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa cadangan tersebut akan dibincangkan terlebih dahulu bersama komponen Pakatan Harapan Johor dalam rundingan rasmi pembahagian kerusi sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Amanah percaya rakyat mahukan wakil rakyat yang benar-benar turun padang, memahami denyut nadi masyarakat dan membawa penyelesaian kepada isu setempat, bukan sekadar retorik politik,” katanya.

Tambah beliau, dengan persiapan jentera yang tersusun serta sokongan berterusan daripada rakyat, Amanah Johor yakin mampu meraih kembali kepercayaan pengundi dan mengembalikan DUN Maharani ke landasan pembangunan yang lebih seimbang dan inklusif.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *