Johor Perlu Bersatu Hadapi Tekanan Ekonomi, AMANAH Johor Desak Semua Parti Duduk Semeja

JOHOR BAHRU – Johor semakin berdepan tekanan ekonomi yang dirasai terus oleh rakyat daripada kenaikan harga barang hingga gangguan bekalan. Dalam keadaan dunia yang tidak menentu, persoalan timbul sama ada semua pihak politik bersedia mengetepikan perbezaan demi kepentingan rakyat.

Menurut Aminolhuda Hassan, Kerajaan Negeri Johor dicadang memanggil semua parti politik untuk duduk semeja dalam masa terdekat bagi membincangkan cabaran ekonomi yang semakin menghimpit rakyat.

Beliau berkata, cadangan itu mengambil kira situasi global semasa khususnya ketidaktentuan akibat konflik di Timur Tengah yang memberi kesan langsung kepada ekonomi negara termasuk kenaikan kos barangan serta tekanan terhadap rantaian bekalan.

Katanya, kepentingan rakyat perlu mengatasi perbezaan politik dan semua pihak wajar mengetepikan sentimen kepartian buat sementara waktu bagi mencari penyelesaian bersama.

Tambah beliau, perbincangan tersebut perlu memberi fokus kepada isu utama seperti kos sara hidup, bekalan bahan mentah, harga barangan keperluan, pengurusan sumber air mentah, pembangunan ekonomi serta kesejahteraan sosial rakyat Johor.

Beliau turut berharap Kerajaan Negeri tidak meminggirkan mana mana pihak, sebaliknya membuka ruang inklusif agar setiap suara dapat didengar dan menyumbang kepada penyelesaian yang lebih menyeluruh.

Menurutnya, pendekatan libat urus secara terbuka penting bagi memastikan setiap dasar atau tindakan yang diambil lebih telus, berasaskan realiti semasa serta mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk pembangkang dan masyarakat sivil.

Aminolhuda berkata, melalui semangat kebersamaan dan kepimpinan inklusif, Johor mampu menghadapi cabaran ekonomi dengan lebih berkesan serta memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

Beliau menegaskan AMANAH Johor komited untuk terus memainkan peranan konstruktif dalam memastikan kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat kekal menjadi keutamaan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *