PONTIAN – Tindakan berani pasangan kekasih remaja menyamun seorang pemandu e-hailing hingga menyebabkan mangsa cedera parah mengejutkan penduduk apabila kedua-duanya berjaya diberkas polis di Melaka, Isnin lalu.
Suspek lelaki berusia 18 tahun bersama teman wanitanya berusia 17 tahun dipercayai menjerut leher mangsa menggunakan tali sling sebelum melarikan Proton Saga milik mangsa dalam kejadian di Taman Negara Tanjung Piai, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, mangsa mengalami beberapa kecederaan serius termasuk pendarahan dalaman di kepala, gegendang telinga kanan bocor serta luka pada badan dan lutut.
Menurut beliau, hasil risikan awam membawa kepada penahanan pasangan remaja itu dalam serbuan di Pangsapuri Rakyat Sungai Putat, Batu Berendam, Melaka.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kejadian samun tersebut sebelum melarikan kenderaan mangsa ke Johor Bahru,” katanya.
Difahamkan, kereta mangsa kemudian ditinggalkan di kawasan restoran makanan segera di Stulang Laut.
Hasil semakan mendapati suspek lelaki mempunyai tujuh rekod jenayah dan narkotik selain positif dadah jenis methamphetamine.
Polis turut merampas semula kereta mangsa, tali sling, sebilah pisau boleh laras, telefon bimbit dan beberapa barangan peribadi dengan nilai keseluruhan sekitar RM30,000.
Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.