PH Johor Tempelak Cadangan Adun ‘Pintu Belakang’, Johor Perlukan Persempadanan Baru Yang Lebih Adil

JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) Johor membidas cadangan penambahan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lantikan dengan menyifatkannya sebagai langkah ‘pintu belakang’ yang tidak menyelesaikan isu sebenar representasi rakyat di negeri itu.

Sebaliknya, PH Johor menegaskan kerajaan negeri perlu memberi fokus kepada persempadanan semula kawasan pilihan raya yang lebih adil dan seimbang berikutan jurang jumlah pengundi yang semakin ketara antara kawasan bandar dan luar bandar.

Dalam kenyataan bersama Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching, mereka menegaskan penambahan Adun lantikan bukan jawapan kepada masalah demokrasi di Johor. “Fokus utama seharusnya diberikan kepada reformasi persempadanan, pengukuhan institusi demokrasi serta memperkasakan mandat rakyat melalui wakil rakyat yang dipilih secara langsung oleh pengundi,” katanya.

Menurut PH Johor, berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya setakat Disember 2025, DUN Kota Iskandar kini mempunyai lebih 131,000 pengundi manakala DUN Tenang hanya sekitar 23,000 pengundi. Mereka menyifatkan jurang lebih 100,000 pengundi itu sebagai tidak munasabah dan menjejaskan prinsip demokrasi ‘satu orang, satu undi’.

Selain Kota Iskandar, lima lagi DUN di Johor turut dikategorikan sebagai kawasan ‘gergasi’ iaitu Puteri Wangsa, Tiram, Permas, Perling dan Skudai yang masing-masing mempunyai lebih 100,000 pengundi. PH Johor turut menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) segera melaksanakan semakan persempadanan semula memandangkan proses terakhir dibuat pada tahun 2018.

Dalam masa sama, PH Johor memaklumkan mereka akan melancarkan kempen kutipan tandatangan bantahan terhadap cadangan Adun lantikan secara fizikal dan atas talian bagi memberi ruang kepada rakyat menyatakan pendirian mereka.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *