KUALA LUMPUR – Seorang penasihat ekonomi di Pejabat Perdana Menteri (PMO) melahirkan kebimbangan rakyat Malaysia masih belum bersedia menghadapi kemungkinan krisis ekonomi susulan konflik berterusan di Asia Barat.
Pengarah Kanan Ekonomi dan Kewangan PMO, Nurhisham Hussein berkata, situasi semasa mengingatkannya kepada keadaan sebelum pandemik Covid-19 melanda pada tahun 2020 apabila ramai masih menjalani kehidupan seperti biasa sebelum krisis besar berlaku.
Menurut beliau, gangguan bekalan minyak dan rantaian bekalan global dijangka memberi kesan kepada pengeluaran kilang, pekerjaan serta kos sara hidup sekiranya konflik berpanjangan terus berlaku.
Katanya, bekalan minyak tempatan mungkin mengambil masa sehingga hujung tahun atau 2027 untuk kembali stabil walaupun perang tamat dalam masa terdekat.
Beberapa pakar ekonomi turut berpandangan kerajaan perlu menyampaikan maklumat lebih jelas dan konsisten kepada rakyat supaya persediaan awal dapat dilakukan tanpa mencetuskan panik.