JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor mengumumkan akan bertanding secara solo di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama pucuk pimpinan parti serta mengambil kira pandangan rakyat Johor.
Menurut beliau, langkah tersebut merupakan tawaran jelas BN untuk terus membentuk kerajaan negeri yang stabil dan kuat demi pembangunan Johor.
“Pendirian untuk bertanding di semua 56 kerusi DUN adalah tawaran jelas kepada rakyat bahawa BN bersedia terus berkhidmat kepada Bangsa Johor,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pengumuman itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai hala tuju kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) di Johor menjelang PRN akan datang.
Sebelum ini, BN membentuk kerajaan negeri Johor secara sendiri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN pada PRN 2022 dengan majoriti dua pertiga.