Pemuda PH Johor Perjelas Isu Gangguan Bekalan Air, Tegas Bertindak Sebagai Suara Rakyat

JOHOR BAHRU – Pemuda Pakatan Harapan (PH) Johor menegaskan bahawa isu gangguan bekalan air yang dibangkitkan sebelum ini dibuat atas kapasiti sebagai pengimbang dan suara rakyat, selaras dengan amalan demokrasi yang matang.

Dalam kenyataan media hari ini, Ketua Pemuda PH Johor, Muhammad Taqiuddin Cheman, berkata pihaknya merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Johor atas penjelasan yang diberikan berhubung isu tersebut.

Menurut beliau, tindakan Pemuda PH Johor membangkitkan perkara itu bukan satu kesalahan, sebaliknya sebahagian daripada tanggungjawab untuk memastikan kepentingan rakyat sentiasa diberi perhatian. “Kami maklum kawasan yang terlibat ketika ini tidak mempunyai pusat data. Namun persoalan lebih besar ialah sekiranya gangguan bekalan air berlaku di kawasan yang mempunyai pusat data, apakah tindakan dan keutamaan kerajaan negeri serta mekanisme perlindungan dan pelan kontingensi yang telah dirangka,” katanya. Beliau turut mempersoalkan sama ada kawasan tanpa pusat data akan kurang diberi keutamaan sekiranya berlaku masalah bekalan air, sambil menegaskan bahawa rakyat di mana-mana kawasan berhak mendapat bekalan air yang stabil dan terjamin.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PH Johor, Faezuddin Puad, berkata isu asas melibatkan kebajikan rakyat tidak wajar dipolitikkan atau dipandang sambil lewa. Menurut kenyataan itu, Pemuda PH Johor juga meluahkan kekesalan apabila isu yang dibangkitkan disusuli serangan balas politik daripada pelbagai pihak berkaitan kerajaan negeri.

Mereka berpendapat pendekatan menghantar ramai pemimpin pemuda dan bahagian untuk menyerang balas secara politik bukan langkah matang, sebaliknya rakyat mahukan penyelesaian terhadap masalah gangguan bekalan air. Pemuda PH Johor menegaskan bahawa isu gangguan bekalan air merupakan isu rakyat, bukan isu politik, dan pihaknya akan terus menegur perkara yang perlu demi memastikan kebajikan rakyat Johor sentiasa menjadi keutamaan.

— Afida Azli

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *