Selat Hormuz – nadi ekonomi global sedang bergoncang

Oleh : Hidzir Azizan

Ketika konflik ketenteraan antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran semakin memuncak, satu lokasi sempit di Timur Tengah kini menjadi tumpuan dunia. Selat Hormuz, selat penting dagangan minyak dan gas asli dunia. Lebarnya hanya sekitar 33 kilometer di bahagian paling sempit dan sekitar 5 kilometer sahaja laut yang dalam. Namun kesannya jika selat ini ditutup, ia boleh menentukan sama ada ekonomi dunia stabil atau jatuh ke dalam krisis tenaga terbesar abad ini.

Pakar tenaga antarabangsa memberi amaran bahawa sebarang gangguan di laluan ini bukan sekadar isu perang serantau tetapi ancaman langsung kepada bekalan minyak, gas asli, inflasi global dan juga kesan ekonomi pada Malaysia.

Laluan paling kritikal dunia dan antara paip tenaga terbesar dunia. Setiap hari, berjuta-juta tong minyak dan gas asli bergerak melalui selat ini dari Teluk Parsi ke Laut Arab sebelum menuju Asia, Eropah dan Amerika. Data tenaga global menunjukkan, sekitar 20 juta tong minyak sehari melalui laluan ini, hampir 20% penggunaan minyak dunia. 20% perdagangan gas asli cecair (LNG) dunia turut menggunakan laluan sama. Nilainya dianggarkan mencecah ratusan bilion dolar perdagangan tenaga setiap tahun. Dalam bahasa mudah, jika Selat Hormuz “tersumbat”, ekonomi dunia seperti kehilangan saluran darah utama.

Sekurang-kurangnya 6 negara pengeluar tenaga utama Timur Tengah bergantung kepada laluan ini untuk eksport tenaga. Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Kuwait, Iraq dan Iran. Sebahagian besar negara ini hampir tiada laluan alternatif ke laut terbuka. Ini bermaksud, jika konflik meningkat, eksport tenaga mereka boleh terhenti serta-merta.

Simpanan minyak dan gas dunia, kenapa Selat Hormuz jadi rebutan? Wilayah Teluk Parsi menyimpan antara rizab tenaga terbesar dunia. Sekitar 48% – 50% simpanan minyak mentah global berada di rantau ini. Lebih 40% simpanan gas asli dunia juga tertumpu di kawasan sama. Sebahagian besar eksport tersebut hanya boleh keluar melalui Hormuz. Penganalisis memberi amaran, gangguan panjang boleh melonjakkan harga minyak sehingga USD100 setong atau lebih.

Ironinya, Amerika Syarikat bukan lagi pengguna utama laluan ini. Sebaliknya, China, India, Jepun, Korea Selatan, adalah penerima terbesar tenaga yang melalui Selat Hormuz. Lebih 80% penghantaran minyak dan gas menuju pasaran Asia. Ini menjadikan Asia termasuk Malaysia, rantau yang paling terdedah.

Apa jadi jika Selat Hormuz ditutup? Laporan antarabangsa menunjukkan beberapa kesan segera :

1. Harga minyak melonjak naik.Harga minyak boleh melonjak USD25 hingga USD50 setong dalam masa singkat. Inflasi global dijangka meningkat.

2. Insurans Kapal Melambung.Kos penghantaran minyak dan barang meningkat kerana risiko perang. Ini akhirnya menaikkan harga barang pengguna.

3. Gangguan Bekalan Gas Asli.Negara Asia bergantung LNG dari Qatar. Gangguan bermaksud, elektrik mahal dan kos industri meningkat.

4. Pasaran Saham Dunia Bergegar.Ketidaktentuan tenaga sering menyebabkan pelabur panik.

Malaysia, kenapa kita tidak terkecuali? Ramai menyangka Malaysia selamat kerana negara pengeluar minyak. Hakikatnya tidak semudah itu. Malaysia masih lagi mengimport sebahagian petroleum tertentu, bergantung kepada perdagangan global serta ekonomi eksport. Jika Hormuz terganggu, petrol dan diesel boleh naik. Harga minyak global menentukan subsidi kerajaan. Kos industri meningkat. Gas LNG mahal memberi tekanan kepada kilang dan tenaga elektrik. Harga barang naik dan kos logistik global meningkat.

Asia sangat bergantung kepada Timur Tengah adalah sesuatu yang disahkan laporan Reuters terbaru mengenai kebergantungan tenaga Asia. Dunia kini menunggu satu keputusan. Selat Hormuz bukan sekadar laluan kapal. Ia adalah tali hayat tenaga dunia, medan tekanan geopolitik dan mungkin “butang reset” ekonomi global.

Jika perang US–Israel dan Iran terus memuncak, persoalan sebenar bukan lagi “adakah ekonomi dunia akan terjejas?” tetapi “seberapa cepat kesannya akan berlaku?”

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *