RUU pemisahan kuasa pendakwa raya dan peguam negara ditangguh

Kuala Lumpur – Hari terakhir sidang Dewan Rakyat pada penggal ini, Parlimen Malaysia harini menangguhkan undian RUU Pemisahan Kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara. Sebaliknya satu usul baru merujuk RUU ini kepada satu Panel Pilihan Khas Buku Parlimen (special select committee) yang akan meneliti secara terperinci dalam tempoh beberapa bulan akan datang telah dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Seri Azalina Othman dan telah diluluskan oleh Dewan Rakyat. Panel ini bertujuan membincangkan dan memperhalusi kandungan RUU termasuk mekanisme pelantikan, akauntabiliti, dan semak imbang sebelum ia dibawa kembali ke Dewan Rakyat untuk undian penuh.

RUU tersebut bertujuan untuk memisahkan fungsi pendakwaan daripada kuasa Peguam Negara, menjadikan Pendakwa Raya (Public Prosecutor) satu jawatan yang bebas dan berasingan daripada peranan penasihat undang-undang kerajaan yang kini dijalankan oleh Peguam Negara. Namun, terdapat pertikaian dan kebimbangan daripada beberapa ahli Parlimen, termasuk dalam blok kerajaan sendiri, tentang mekanisme pelantikan dan tahap kebebasan institusi baru tersebut.

Di bawah kerangka yang dicadangkan, Pendakwa Raya akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Jawatankuasa Pemilihan Parlimen. Tempoh perkhidmatan ditetapkan secara tetap bagi menjamin kestabilan dan kebebasan. Pendakwa Raya hanya boleh dilucutkan melalui tribunal khas, sama seperti hakim mahkamah atasan dan Jabatan Peguam Negara Malaysia akan menumpukan sepenuhnya kepada fungsi penasihat undang-undang kepada kerajaan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) ketika membentangkan usul itu berkata, pemisahan kuasa ini bertujuan menghapuskan persepsi konflik kepentingan apabila kerajaan disiasat atau didakwa.

Ketika ini, Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Peguam Negara adalah penasihat undang-undang utama kerajaan dan pada masa sama memegang kuasa sebagai Pendakwa Raya. Pengkritik sistem sedia ada berhujah bahawa gabungan dua fungsi ini boleh menimbulkan persepsi campur tangan eksekutif dalam keputusan pendakwaan, khususnya dalam kes melibatkan tokoh politik atau kepentingan kerajaan.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang menyambut baik usul berkenaan namun menuntut perincian lanjut mengenai mekanisme semak dan imbang. “Independensi bukan sekadar struktur, tetapi bagaimana pelantikan dan pemecatan dilaksanakan,” kata seorang wakil rakyat ketika sesi perbahasan. Sementara itu, wakil kerajaan menegaskan bahawa model yang dicadangkan mengambil rujukan daripada amalan di negara Komanwel seperti United Kingdom dan Australia, di mana fungsi penasihat undang-undang dan pendakwaan diasingkan secara institusi.

Melihat kepada implikasi terhadap system perundangan, Pakar perlembagaan menyifatkan RUU ini sebagai langkah memperkukuh prinsip pengasingan kuasa antara eksekutif dan sistem keadilan jenayah. Sekiranya diluluskan, pindaan Perlembagaan mungkin diperlukan bagi meminda peruntukan berkaitan kuasa Pendakwa Raya, yang memerlukan sokongan dua pertiga Ahli Parlimen. Perkembangan ini dilihat sebagai ujian komitmen kerajaan terhadap agenda reformasi institusi dan ketelusan pentadbiran negara.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *