JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor menegaskan bahawa tiada sebarang rundingan politik sedang atau akan diadakan bersama Malaysian United Democratic Alliance (MUDA) seperti yang pernah berlaku sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini.
Naib Pengerusi AMANAH Johor, Dr Zuhan Zain berkata parti itu juga akan membawa cadangan dalam perbincangan bersama Pakatan Harapan bagi mengambil semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa yang sebelum ini dipinjamkan kepada MUDA atas semangat kerjasama dan kesepakatan dalam gabungan.
Menurut beliau, keputusan tersebut merupakan tanda protes dan pendirian tegas AMANAH Johor terhadap tindakan MUDA yang menarik sokongan kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim. Katanya, kerusi DUN Puteri Wangsa pada asalnya diberikan kepada MUDA atas dasar kepercayaan dan strategi bersama bagi memperkukuh blok reformasi, namun perkembangan politik semasa menuntut penilaian semula demi memastikan konsistensi serta kejelasan pendirian gabungan.
Beliau berkata sebarang kerjasama politik seharusnya berteraskan kesetiaan kepada mandat rakyat dan komitmen terhadap kestabilan kerajaan. Menurutnya, tindakan menarik sokongan secara unilateral bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerjasama politik yang dibina.
Dalam pada itu, Dr Zuhan menegaskan AMANAH Johor kekal komited bersama Pakatan Harapan dalam memperkukuh Kerajaan Perpaduan serta memastikan setiap kerusi yang ditandingi mencerminkan kestabilan, kesepaduan dan prinsip perjuangan yang jelas kepada rakyat Johor.