Musyawarah UMNO, PAS, PKR dan AMANAH, permulaan ‘blok Melayu’ baharu?

Pertemuan yang menghimpunkan lapan parti politik termasuk UMNO, PAS, PKR dan Amanah mencetuskan kejutan besar dalam landskap politik negara apabila pemimpin daripada blok kerajaan dan pembangkang dilihat duduk semeja membincangkan isu berkaitan Islam, Melayu dan Bumiputera.

Musyawarah yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur itu segera menarik perhatian ramai kerana ia dianggap sesuatu yang jarang berlaku dalam politik Malaysia yang sering dipenuhi pertembungan ideologi dan persaingan kuasa.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan pertemuan tersebut tercetus daripada inisiatif Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu membuka ruang perbincangan melangkaui sempadan politik kepartian.

Menurutnya, walaupun parti-parti politik mempunyai perbezaan besar dalam pendekatan dan perjuangan, isu yang menyentuh kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera tidak sepatutnya dipolitikkan sehingga memecahbelahkan umat.

Lebih menarik perhatian apabila pertemuan itu turut disertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Berjasa, Kimma dan Parti Ikatan Bangsa (IKATAN), sekali gus menjadikan musyawarah tersebut sebagai antara pertemuan politik paling luas melibatkan pelbagai parti dalam satu meja rundingan.

Hasil daripada perbincangan itu, para pemimpin parti bersetuju menubuhkan Sekretariat Musyawarah Parti-parti Teras Islam, Melayu dan Bumiputera sebagai platform rasmi bagi menyelaras perbincangan dan kerjasama pada masa akan datang.

Langkah ini sekali gus menghidupkan semula perbincangan mengenai gagasan “Rumah Bangsa” dan idea kolaborasi besar parti-parti Melayu dan Islam yang pernah dibangkitkan sebelum ini.

Di media sosial, pertemuan tersebut mula mencetuskan pelbagai reaksi dan spekulasi, dengan ramai tertanya-tanya sama ada musyawarah ini sekadar perbincangan dasar atau sebenarnya petanda awal kepada perubahan besar dalam peta politik negara.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *


Notice: ob_end_flush(): Failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/arusmala/public_html/wp-includes/functions.php on line 5481