Cuba berhenti berlumba siapa paling Melayu, paling Islam, ahli politik kene sound!

Seorang pemimpin Parti Amanah Negara mencetuskan perbincangan hangat apabila menyatakan bahawa orang Melayu sebenarnya sudah lama bersatu, namun perpecahan sering digambarkan oleh ahli politik sendiri.

Ahli Jawatankuasa Pusat Amanah, Zamir Ghazali menegaskan bahawa secara hakikatnya orang Melayu tidak pernah berperang sesama sendiri seperti yang berlaku dalam sejarah bangsa lain.

Malah menurutnya, identiti Melayu yang rapat dengan Islam telah lama menjadi asas penyatuan masyarakat itu.

Menurut Zamir, naratif bahawa orang Melayu kononnya berpecah hanyalah retorik yang sering dimainkan oleh ahli politik bagi meraih sokongan.

Beliau menyifatkan sentimen tersebut sebagai “tumor” dalam tubuh sosial Melayu yang sengaja disuburkan untuk menakut-nakutkan rakyat.

Katanya, jika benar mahu menyatukan orang Melayu, ubatnya bukan dengan slogan politik, tetapi dengan menghentikan permainan sentimen kaum dan agama.

Beliau yang turut hadir dalam mesyuarat rentas parti bersama beberapa parti politik lain termasuk Umno, PAS dan PKR berkata realitinya orang Melayu sudah lama bekerjasama dalam pelbagai institusi ekonomi dan sosial tanpa masalah.

Contohnya melalui organisasi seperti persatuan pedagang, dewan perniagaan Melayu dan pelbagai koperasi Bumiputera yang bergerak aktif tanpa pernah dilabel sebagai tanda perpecahan.

Justeru Zamir menyeru ahli politik Melayu supaya berubah pendekatan dengan membawa idea yang lebih progresif dan berteraskan nilai.

Menurutnya, politik tidak sepatutnya menjadi pentas untuk berlumba-lumba membuktikan siapa paling Melayu atau paling Islam, sebaliknya harus menjadi ruang untuk membina masa depan bangsa dengan pemikiran yang lebih matang dan berdaya maju.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *