JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan Johor menubuhkan empat jawatankuasa utama termasuk Johor MADANI sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pengerusinya, Aminolhuda Hasan berkata tiga lagi jawatankuasa yang dibentuk ialah Jawatankuasa Agihan Kerusi, Jawatankuasa Isu dan Komunikasi serta Jawatankuasa Penyelaras Menteri Persekutuan.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat PH Johor yang diadakan di Trinidad Suites Johor hari ini, sebelum diikuti Majlis Berbuka Puasa bersama media Johor.
“Kita meletakkan individu berpengalaman termasuk bekas Ahli Dewan Undangan Negeri untuk mengetuai jawatankuasa yang ditubuhkan bagi memperkemas gerak kerja menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan.
Turut hadir Timbalan Pengerusi PH Johor, Teo Nie Ching serta Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Aminolhuda berkata Jawatankuasa Johor MADANI ditubuhkan bagi memastikan agenda pembangunan, ekonomi, pendidikan dan kestabilan politik selari dengan konsep Malaysia MADANI yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, jawatankuasa itu akan dipengerusikan bekas ADUN Bukit Naning, Ysahrudin Kusni.
Dalam perkembangan sama, Aminolhuda berkata PH Johor turut mengusulkan agar PRN dan PRU diadakan serentak bagi menjimatkan perbelanjaan kerajaan serta memudahkan urusan Suruhanjaya Pilihan Raya dan rakyat.
“Jika pilihan raya diadakan dua kali secara berasingan, semua parti perlu menyediakan dana dua kali dan ia dikhuatiri boleh menjejaskan kelancaran pentadbiran kerajaan,” katanya.
Beliau berkata cadangan tersebut akan dikemukakan kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat melalui Ketua Pengimbang Johor, Andrew Chen Kah Eng.
