Ubah Suai Sehingga RM10,000 Demi Lumba Haram!

KUALA LUMPUR — Demi mengejar adrenalin dan ‘nama’, segelintir penunggang motosikal sanggup berhabis sehingga RM10,000 untuk mengubah suai jentera mereka — hanya untuk berlumba secara haram di jalan raya awam.

Kegiatan berbahaya itu dikesan dalam satu operasi khas oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) di Lebuh Raya Duta–Ulu Kelang (DUKE), yang dijalankan seawal pukul 3 hingga 5 pagi susulan aduan berterusan daripada orang awam.

Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam berkata, kawasan sekitar Batu Muda, Greenwood dan Sri Gombak dikenal pasti sebagai ‘port panas’ aktiviti lumba haram, terutama pada hujung minggu.

Menurut beliau, antara aduan yang diterima termasuk kegiatan berkumpul secara besar-besaran, menjadikan lebuh raya sebagai litar perlumbaan, aksi pemanduan berbahaya serta bunyi bising melampau yang mengganggu penduduk setempat.

Lebih membimbangkan, kegiatan ini turut melibatkan remaja seawal usia 13 hingga 14 tahun, dengan kebanyakan ibu bapa tidak menyedari penglibatan anak-anak mereka dalam aktiviti berisiko tinggi itu.

“Pelbagai kesalahan serius dikesan termasuk tiada cermin sisi, nombor pendaftaran tidak sah atau tidak dipamerkan, penggunaan nombor ‘fancy’, ubah suai ekzos melampau, tiada brek belakang serta ketiadaan nombor enjin,” katanya.

Dalam operasi berkenaan, ada juga individu yang bertindak agresif dan cuba melarikan diri bagi mengelak tindakan penguatkuasaan.

Sepanjang operasi itu, seramai 80 individu diperiksa, dengan 283 saman dikeluarkan manakala 26 motosikal disita atas pelbagai kesalahan.

Tegasnya, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia tidak akan berkompromi dan akan terus mempergiat operasi bagi membanteras aktiviti lumba haram yang bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mengancam nyawa pengguna jalan raya lain.

Beliau turut menyeru ibu bapa agar memainkan peranan lebih aktif dalam memantau pergerakan anak-anak supaya tidak terjebak dalam kegiatan tidak sihat ini.

Semua tindakan penguatkuasaan diambil di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *