KUALA LUMPUR — Rasuah bukan lagi sekadar ‘barah lama’ dalam sektor awam. Kini, fenomena itu dilihat semakin menular dalam sektor swasta apabila ribuan pekerja dikesan sanggup menerima suapan demi kepentingan peribadi dan gaya hidup mewah.
Pendedahan mengejutkan oleh Azam Baki menunjukkan seramai 2,202 pegawai dan kakitangan swasta ditahan dalam tempoh 2021 hingga 2025, angka yang mengatasi tangkapan dalam kalangan penjawat awam seramai 2,164 orang.
Menurut beliau, situasi ini memberi gambaran jelas bahawa amalan rasuah kini tidak lagi terhad kepada satu sektor, sebaliknya telah merentas sempadan organisasi dan menjadi ancaman serius kepada integriti sistem kerja negara.
Dalam tempoh sama, seramai 845 orang awam turut ditahan, selain 118 individu membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan 30 ahli politik.
Mengulas lanjut, beliau berkata individu yang mempunyai kuasa membuat keputusan khususnya dalam urusan perolehan, kelulusan dan penguatkuasaan lebih terdedah kepada godaan rasuah, terutama apabila sistem kawalan dalaman lemah.
“Prosedur yang longgar, pengawasan tidak ketat serta ketiadaan mekanisme semak dan imbang membuka ruang kepada salah laku ini terus berlaku,” katanya.
Lebih membimbangkan, ramai pelaku didapati hidup melebihi kemampuan sebenar. Keinginan untuk mengekalkan gaya hidup mewah menjadi pendorong utama mereka terjebak dalam jenayah tersebut.
Dalam sesetengah keadaan, rasuah juga dilihat seolah-olah ‘dinormalisasikan’ apabila amalan ‘duit kopi’ dijadikan jalan mudah untuk mempercepatkan urusan, sekali gus menghakis sensitiviti terhadap kesalahan itu sendiri.
Selain faktor gaya hidup, tekanan kewangan, beban hutang serta masalah peribadi turut dikenal pasti sebagai antara punca seseorang mudah terjerumus, lebih-lebih lagi apabila peluang untuk melakukan rasuah terbuka luas.
Statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sepanjang lima tahun lalu menunjukkan kesalahan menerima rasuah mencatat jumlah tertinggi iaitu sebanyak 1,740 kes, diikuti tuntutan palsu (1,448 kes) dan salah guna kuasa (563 kes).
Kes lain termasuk memberi rasuah (378 kes), pengubahan wang haram (332 kes), selain beberapa kes di bawah Kanun Keseksaan dan akta lain.
Perkembangan ini sekali lagi mencetuskan persoalan besar sejauh mana budaya rasuah telah berakar dalam masyarakat, dan apakah tindakan lebih tegas mampu menghentikan ‘normalisasi’ jenayah ini sebelum ia menjadi kebiasaan yang sukar dibendung.