Tragedi Kanak-Kanak 9 Tahun: Ibu, Bapa Tiri Antara 4 Didakwa Bunuh

TAIPING — Kes kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang sebelum ini mencetuskan persoalan akhirnya terbongkar di mahkamah, apabila ibu dan bapa tirinya antara empat individu didakwa membunuh mangsa.

Empat tertuduh itu ialah M. Satis Kumar, 27, bersama isterinya M. Savathri, 28, serta ibu bapanya S. C. Veeraletchumi, 53, dan M. Murali, 49.

Mereka mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret R. Prabakaran di Mahkamah Majistret Taiping hari ini, namun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa menyebabkan kematian kanak-kanak tersebut, Thanavitha, di sebuah rumah di Taman Sungai Mas dalam daerah Larut, Matang dan Selama pada pagi 26 Mac 2026.

Kes itu didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun, serta sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dikenakan hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farihah Adilah Fazial, manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam.

Bagaimanapun, prosiding turut dihadiri tiga peguam pemerhati iaitu Dinesh Muthal, Devanisan Ganesan dan Low Tze Ken bagi mewakili keluarga mangsa.

Mahkamah menetapkan 15 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik, bedah siasat serta ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Sebelum ini, media melaporkan mangsa dibawa ke Hospital Taiping dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia dengan kesan kecederaan mencurigakan pada tubuhnya.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan pada bahagian kepala dan leher disebabkan trauma tumpul.

Susulan kejadian itu, ibu, bapa tiri serta datuk dan nenek mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan sebelum didakwa di mahkamah hari ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *