Skandal Rasuah JAS: KP Didakwa Terima RM100,000, Timbalan Turut Diseret Ke Mahkamah

KUALA LUMPUR — Dari menjaga alam sekitar, kini berdepan tuduhan rasuah. Dua pegawai tertinggi Jabatan Alam Sekitar (JAS) menggemparkan negara apabila didakwa di mahkamah atas kes melibatkan wang puluhan ribu ringgit.

Ketua Pengarah JAS, Wan Abdul Latif Wan Jaffar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM100,000 tahun lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, beliau didakwa menerima wang tunai itu daripada pengarah Sunrich Conquest Sdn Bhd, Khor Chong Wai, melalui pengurus projek syarikat tersebut, Lee Ham Kong pada 15 Januari 2025.

Rasuah berkenaan didakwa diterima dalam kapasiti rasminya bagi mempertimbangkan rayuan oleh Geo Valley Sdn Bhd yang memohon pengecualian daripada menyediakan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dalam permohonan Kebenaran Merancang.

Permohonan itu melibatkan cadangan pembinaan Jalan Berkembar Bukit Kukus serta kerja tanah mitigasi di atas tanah kerajaan di Paya Terubong, Pulau Pinang, dengan rayuan dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar melalui surat bertarikh 22 November 2024.

Untuk rekod, laporan EIA merupakan dokumen wajib bagi projek pembangunan yang berpotensi memberi impak besar kepada alam sekitar dan perlu diluluskan sebelum sebarang kerja dimulakan.

Pertuduhan terhadap Wan Abdul Latif dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai rasuah atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Tertuduh yang bakal berusia 59 tahun pada Ogos ini bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan di hadapan Hakim Suzanna Hussin.

Mahkamah membenarkan beliau diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan supaya pasport diserahkan kepada mahkamah. Sebutan semula kes ditetapkan pada 7 Mei.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib dan Fadhly Zambry, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Firdaus Ahmad dan Muhammad Aridz Mirzha Ahmad.

Dalam prosiding berasingan, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAS, Norhazni Mat Sari turut mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan menerima wang berjumlah RM21,000.

Beliau didakwa menerima wang tersebut daripada seorang individu, Tang Siong Hee, bagi pihak anak perempuannya antara tahun 2022 hingga 2024, tanpa sebarang balasan dan berkait dengan tugas rasminya.

Menurut pertuduhan, transaksi dilakukan dalam enam kejadian berasingan termasuk pemindahan wang secara dalam talian ke akaun bank anaknya melalui cawangan Maybank Bukit Bintang.

Kesemua pertuduhan terhadap Norhazni dikemukakan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah membenarkan beliau diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin, dengan kes dikendalikan oleh pasukan pendakwaan yang diketuai Ahmad Akram Gharib.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *


Notice: ob_end_flush(): Failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/arusmala/public_html/wp-includes/functions.php on line 5481