Samun Emas RM3.6 Juta Tumpas, 9 Suspek Termasuk Wanita Asing Diberkas

GEORGE TOWN, 3 April — Polis berjaya menumpaskan satu sindiket samun bersenjata yang menyasarkan penghantaran emas bernilai jutaan ringgit dengan penahanan sembilan individu dalam beberapa serbuan di Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, kesemua suspek ditahan menerusi Op Jingga D Garden yang dijalankan bermula 26 Mac hingga semalam melibatkan pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Menurut beliau, tujuh lelaki tempatan dan dua wanita warga Indonesia berusia antara 23 hingga 43 tahun diberkas dalam serbuan di beberapa lokasi sekitar daerah Barat Daya dan Timur Laut.

“Hasil operasi, polis merampas barang kemas seberat 4.3 kilogram, sebilah parang, empat tayar bersama sportrim, tiga bentuk cincin serta dua kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan samun tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siasatan awal mendapati kumpulan itu menyasarkan jurujual yang membawa barang kemas bagi tujuan penghantaran atau urus niaga di kedai emas sekitar Pulau Pinang.

Azizee berkata penahanan kesemua suspek dipercayai berjaya menyelesaikan kes samun berkumpulan yang berlaku pada 26 Mac lalu di daerah SPU, melibatkan kerugian barang kemas seberat 6,023.69 gram bernilai RM3.6 juta.

Tambah beliau, semakan lanjut mendapati tiga daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau yang serius, termasuk seorang dengan 17 rekod kesalahan serta satu kes berkaitan dadah.

“Ujian saringan air kencing juga mendapati tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Menurutnya, operasi masih diteruskan bagi mengesan saki-baki ahli kumpulan yang dipercayai masih bebas.

Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395, Seksyen 397 serta Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *