Guna MyKad Orang Lain Isi Petrol? JPN Beri Amaran: Penjara Hingga 3 Tahun Menanti

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan bahawa penggunaan MyKad milik orang lain, termasuk ahli keluarga sendiri untuk membeli bahan api bersubsidi adalah dilarang.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias berkata MyKad adalah dokumen pengenalan diri rasmi yang tidak boleh digunakan, dipegang atau diwakili oleh individu lain selain pemiliknya yang sah.

Beliau menjelaskan larangan itu selaras dengan Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang menetapkan bahawa penggunaan atau pemilikan kad pengenalan orang lain merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Semua urusan di kaunter, termasuk pembelian bahan api, mesti dilakukan sendiri oleh pemilik MyKad,” katanya.

Tambah beliau, amalan meminjamkan atau menyerahkan MyKad kepada orang lain perlu dielakkan bagi mengelakkan pemilik berdepan implikasi undang-undang.

Kenyataan itu susulan laporan media mengenai penahanan seorang lelaki di Tumpat, Kelantan yang disyaki menggunakan empat kad pengenalan berbeza untuk membeli lebih 100 liter petrol RON95.

Suspek ditahan ketika sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak di kawasan tersebut.

Susulan kes itu, JPN kini sedang menjalankan siasatan terhadap beberapa kes lain melibatkan penggunaan MyKad orang lain untuk pembelian bahan api bersubsidi di stesen minyak seluruh negara.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *