Kuala Lumpur – UMNO merekodkan 3,716 ahli baharu dalam tempoh kurang 24 jam selepas pelaksanaan sistem pendaftaran keahlian secara dalam talian.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sambutan itu didominasi golongan muda dengan 2,413 orang atau 65 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Menurutnya, kategori ahli biasa mencatatkan 818 orang, diikuti Wanita seramai 248 orang dan Puteri 237 orang.
Beliau memaklumkan setiap permohonan diteliti dan diluluskan sebaik sistem berkenaan mula digunakan.
Katanya, pelaksanaan pendaftaran secara dalam talian itu bertujuan memudahkan kemasukan ahli baharu khususnya dalam kalangan generasi muda.
Perkembangan berkenaan disifatkan sebagai petanda positif terhadap minat anak muda dalam politik serta sokongan berterusan terhadap parti.