Krisis Negeri Sembilan Makin Panas, Jawatan EXCO UMNO Kini Dipangku PH

SEREMBAN – Kemelut politik di Negeri Sembilan terus memanas apabila kerajaan negeri memutuskan empat jawatan EXCO yang dikosongkan wakil UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan diganti dengan muka baharu.

Sebaliknya, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tugas portfolio tersebut akan dipangku enam EXCO sedia ada bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri terus berjalan seperti biasa. “Tiada pelantikan EXCO baharu.

Kita telah bersetuju supaya tugasan itu dipangku EXCO sedia ada dan ia tidak akan diisi,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan EXCO di Wisma Negeri pada Rabu. Empat jawatan yang kosong itu sebelum ini disandang Datuk Seri Jalaluddin Alias, Datuk Ismail Lasim, Datuk Mustapha Nagoor dan Datuk Mohd Faizal Ramli.

Antara portfolio terlibat termasuk Jawatankuasa Kemajuan Desa dan Perladangan dan Komoditi, Pendidikan dan Modal Insan, Pembangunan Belia dan Sukan serta Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital. Pada 27 April lalu, 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan BN Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin sebelum menarik sokongan kepada kerajaan negeri susulan krisis adat dan perlembagaan.

Keputusan tidak menggantikan EXCO baharu itu sekali lagi mencetuskan persoalan mengenai hala tuju politik Negeri Sembilan ketika hubungan antara PH dan BN dilihat semakin tegang.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *