Bapa Dua Anak Jadi ‘Budak Along’, Akhirnya Masuk Penjara 7 Bulan

JOHOR BAHRU – Seorang penarik kereta yang juga bapa kepada dua anak dipenjara tujuh bulan selepas mengaku bersalah menyimbah cat merah di dua buah rumah dipercayai berkaitan kegiatan ugutan sindiket along.

Tertuduh, Muhamad Yaccob Ibrahim, 28, dijatuhi hukuman berasingan oleh dua Mahkamah Majistret di Johor Bahru pada Selasa. Hakim Azureen Sahira Sauffee Afandi menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bermula hari ini, manakala Majistret Nabilah Nizam pula menjatuhkan hukuman penjara empat bulan bermula dari tarikh tangkap pada 16 April lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan menyimbah cat merah di sebuah rumah di Jalan Mutiara Emas 9/20, Taman Mount Austin pada 7 April lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan perbuatan sama terhadap sebuah rumah di Twin Danga Residensi, Kampung Sungai Danga pada 24 Disember tahun lalu. Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Sebelum ini, polis menahan enam suspek termasuk dua wanita yang dipercayai menjadi ‘budak suruhan’ sindiket along dan terlibat dalam pelbagai ugutan jenayah termasuk menyimbah cat serta serangan bom petrol di beberapa negeri.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *