JOHOR BAHRU: Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) serta PRU16 dijangka menjadi fokus utama dalam Konvensyen Pakatan Harapan 2026 yang berlangsung di Johor Bahru.
Pengarah Konvensyen PH 2026, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beberapa mesej penting berkaitan hala tuju politik semasa termasuk hubungan dalam Kerajaan Perpaduan dijangka disentuh pimpinan tertinggi gabungan itu.
Menurut beliau, kestabilan politik ketika ini penting bagi memastikan agenda kerajaan termasuk subsidi bersasar dan bantuan rakyat dapat diteruskan.
Konvensyen itu dijangka menghimpunkan lebih 5,000 perwakilan PKR, DAP dan Amanah dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Amanat Pengerusi PH merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menjadi tumpuan utama terutama berkaitan persiapan menghadapi PRN Johor, Melaka dan PRU16.