1869 POLIS DITANGAKAP KES DADAH

Seramai 1,869 pegawai dan anggota polis ditangkap atas kesalahan berkaitan dadah sepanjang tempoh 2020 hingga 2025, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Dalam jawapan bertulis di Parlimen, kementerian itu memaklumkan daripada jumlah berkenaan, 91 adalah pegawai polis manakala 1,778 lagi anggota, dan kesemuanya disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234).

Daripada keseluruhan tangkapan, seramai 958 individu telah dituduh di mahkamah, sementara 911 kes masih dalam proses siasatan dan perbicaraan termasuk menunggu laporan patologi serta laporan kimia.

KDN turut memperincikan kategori pertuduhan iaitu 35 kes membabitkan kesalahan bekalan, 255 kes memiliki dadah, dan 668 kes melibatkan pertuduhan positif ujian air kencing.

Maklumat itu dikemukakan bagi menjawab pertanyaan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) yang meminta penjelasan mengenai jumlah pegawai dan anggota polis terlibat dalam penyalahgunaan dadah sepanjang lima tahun lalu, jenis kesalahan dilakukan serta tindakan undang-undang dan tatatertib yang diambil terhadap mereka.

Berkaitan langkah tatatertib, KDN menyatakan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) telah menjalankan siasatan dalaman terhadap anggota yang disabitkan kesalahan di mahkamah.

Sepanjang tempoh sama, seramai 511 pegawai dan anggota dikenakan tindakan tatatertib, dengan 324 daripadanya dibuang kerja manakala selebihnya menerima amaran atau diturunkan pangkat.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *


Notice: ob_end_flush(): Failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/arusmala/public_html/wp-includes/functions.php on line 5481