Oleh : Syahidah Zakaria
JOHOR BAHRU– Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor menegaskan kesediaannya menghadapi sebarang kemungkinan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, sama ada melibatkan pertandingan dua penjuru mahupun tiga penjuru.
Naib Pengerusi AMANAH Johor, Dr Zuhan Zain, berkata parti itu tidak gentar dengan apa jua senario politik yang bakal berlaku.
Menurut beliau, pembahagian kerusi perlu dilakukan secara adil, telus dan berasaskan kekuatan sebenar serta realiti sokongan rakyat sekiranya terdapat pihak yang mahukan pertandingan dua penjuru demi kestabilan politik Johor.
“AMANAH Johor tidak akan menerima sebarang bentuk rundingan yang bersifat berat sebelah atau hanya menguntungkan satu pihak. Prinsip keadilan dalam kerjasama politik mesti dihormati oleh semua pihak,” katanya ketika ditemui semasa mengedarkan juadah berbuka puasa di Taman Daya.
Dalam masa sama, Dr Zuhan menjelaskan pelantikan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh AMANAH Johor baru-baru ini merupakan langkah awal yang strategik bagi menggerakkan persiapan pilihan raya. Katanya, langkah itu melibatkan usaha memperkukuh jentera, menyusun organisasi serta mendekati pengundi di peringkat akar umbi.
Tambah beliau, AMANAH Johor juga akan mengadakan rundingan bersama komponen Pakatan Harapan Johor bagi memaklumkan cadangan dan pendirian parti secara rasmi. “AMANAH Johor kekal komited bersama Pakatan Harapan dalam menawarkan politik yang matang, stabil dan berintegriti kepada rakyat Johor,” katanya.
Menurut beliau, keutamaan parti bukan sekadar soal pembahagian kerusi, sebaliknya memastikan mandat rakyat diterjemahkan kepada pentadbiran yang adil dan berkesan.

Dr Zuhan mengedarkan kurma di Bazar Ramadan Taman Daya