AMANAH Johor seru rakyat pelihara perpaduan, tolak politik kebencian

JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus memelihara perpaduan dan menolak sebarang bentuk politik kebencian, khususnya dalam suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri 1447 Hijrah.

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, Aidilfitri seharusnya menjadi medan untuk memperkukuh keharmonian masyarakat serta menyemai nilai kemaafan dan penyatuan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama.

Menurut beliau, AMANAH Johor memandang serius beberapa perkembangan mutakhir yang dilihat boleh menggugat keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

“Beberapa episod kebelakangan ini memperlihatkan tindakan segelintir pihak yang cuba mencetuskan ketegangan, sesuatu yang jelas bertentangan dengan semangat Malaysia yang berasaskan toleransi dan saling menghormati,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap sikap pihak tertentu, termasuk dari kalangan ahli politik, yang didakwa mengambil kesempatan terhadap isu sensitif dengan menanam kebencian terhadap kerajaan.“Tindakan ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah berpotensi memberi kesan buruk kepada rakyat dan kestabilan negara,” ujarnya.

Sehubungan itu, AMANAH Johor menegaskan bahawa negara tidak memerlukan suara yang mengapi-apikan keadaan, sebaliknya memerlukan pendekatan yang lebih tenang dan rasional dalam menangani isu berkaitan perpaduan kaum dan agama.

Dalam masa sama, beliau mengajak semua pihak untuk kembali kepada nilai-nilai murni dengan mengutamakan dialog, saling menghormati serta menolak sebarang bentuk provokasi.“Perpaduan dan kestabilan sosial adalah asas penting kepada kemakmuran ekonomi serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Tambah beliau, AMANAH Johor komited untuk terus menyokong usaha memperkukuh perpaduan nasional serta menolak politik kebencian demi masa depan negara.

Mengakhiri kenyataan, beliau turut merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya Bangsa Johor.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *