UMNO Johor Mahu ‘Solo Mode’, Kekal 40 Kerusi DUN Walau Ada Tawaran Kerjasama

JOHOR BAHRU – UMNO Johor dikatakan cenderung untuk bergerak secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, selain berhasrat mengekalkan penguasaan di 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi Barisan Nasional (BN).

Menurut dua pemimpin negeri yang enggan dinamakan, setakat ini UMNO Johor belum mengadakan sebarang perbincangan rasmi dengan mana-mana gabungan luar BN.

Salah seorang pemimpin berkata, sekiranya wujud kerjasama dengan gabungan lain termasuk Pakatan Harapan (PH), pendirian mereka tetap tidak berubah untuk mengekalkan status quo dengan bertanding di 40 daripada keseluruhan 56 kerusi DUN.

Beliau menegaskan, UMNO-BN lebih selesa bergerak sendiri di Johor, namun keputusan akhir tetap diserahkan kepada pucuk pimpinan pusat.

“Pendirian kita jelas, mahu kekalkan 40 kerusi yang kita menang walaupun ada rundingan kerjasama.

“Jika tiada kerjasama, kita bersedia untuk bertanding di semua kerusi DUN,” katanya.

Seorang lagi pemimpin turut menyatakan mereka berpegang kepada prinsip ‘incumbency’, iaitu mengekalkan kerusi penyandang.

Namun, beliau menjelaskan fokus utama ketika ini adalah kepada kebajikan rakyat dan pentadbiran negeri, khususnya dalam menghadapi cabaran krisis global.

“Soal pilihan raya akan dibincangkan secara serius apabila tiba masanya,” katanya.

Terdahulu, PKR Johor menyatakan keterbukaan untuk mengadakan rundingan dengan UMNO bagi menghadapi PRN akan datang yang dijangka berlangsung selewat-lewatnya April 2027.

Ketua PKR Johor, Dr Zaliha Mustafa berkata, sebarang bentuk kerjasama perlu dilakukan secara tertib dan berhemah, selaras dengan semangat kerajaan Madani bagi memastikan kestabilan politik serta kemenangan bersama.

Pada Ahad lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR, menyatakan hasrat untuk mengadakan rundingan termasuk dengan UMNO, dengan mengambil kira kekuatan sokongan parti itu di peringkat Parlimen.

Untuk rekod, BN membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN. Pakatan Harapan pula memperoleh 12 kerusi, termasuk 10 dimenangi DAP serta masing-masing satu oleh PKR dan Amanah. Perikatan Nasional (PN) menang tiga kerusi, manakala Muda satu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *