Polis Ditempatkan di 151 Stesen Minyak Berisiko Tinggi

KUCHING, 13 April — Kerajaan akan menempatkan anggota polis di 151 stesen minyak berisiko tinggi di seluruh negara sebagai langkah memperkukuh penguatkuasaan dan membanteras ketirisan bahan api bersubsidi.

Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof berkata, daripada jumlah itu, 87 stesen minyak dikenal pasti berada di kawasan sempadan, manakala 64 lagi dikesan mempunyai aktiviti mencurigakan termasuk corak jualan luar biasa serta kehadiran kenderaan asing.

Menurut beliau, penempatan anggota polis di lokasi terlibat bertujuan memastikan pemantauan lebih berkesan selain membolehkan agensi penguat kuasa lain memberi tumpuan kepada operasi di lokasi berisiko lain seperti depoh diesel nelayan, jeti haram dan aktiviti pemindahan minyak secara tidak sah.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa di Sarawak, sebanyak 22 stesen minyak di kawasan sempadan dikenal pasti sebagai lokasi yang memerlukan pemantauan rapi melalui operasi bersepadu.Sementara itu, menerusi pelaksanaan Ops Tiris 4.0, sebanyak 13,759 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh negara dengan 239 kes dikesan, melibatkan nilai rampasan dianggarkan RM11 juta.Daripada jumlah tersebut, Sarawak merekodkan nilai rampasan tertinggi iaitu sekitar RM6.7 juta, dengan kes melibatkan diesel mencatat jumlah paling banyak, diikuti petrol RON95 serta barangan kawalan lain termasuk LPG, minyak masak, gula dan tepung.

Beliau turut menggesa orang ramai untuk bersama-sama menyokong inisiatif kerajaan menerusi gerakan “KITA GEMPUR” dalam usaha membanteras ketirisan dan melindungi kepentingan ekonomi negara.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *