PUTRAJAYA – Kerajaan memberi amaran keras kepada mana mana pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap subsidi diesel apabila tindakan tegas akan diambil termasuk menggantung dan membatalkan kelulusan kad fleet.
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan yang dipengerusikan beliau di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup hari ini.
Beliau berkata langkah tersebut penting bagi menjamin kelangsungan serta kestabilan bekalan tenaga negara.
Katanya, krisis tenaga global akibat konflik Asia Barat telah meningkatkan risiko penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan khususnya bahan api diesel dan petrol.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata pelaksanaan Skim Kawalan Diesel Bersubsidi melalui penggunaan kad fleet untuk sektor pengangkutan darat barangan akan diperluas ke Sabah, Sarawak dan Labuan.
Menurut beliau, mesyuarat turut bersetuju menetapkan agensi peneraju bagi tiga sektor utama dalam usaha membendung ketirisan. Sektor darat diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, sektor sempadan oleh Polis Diraja Malaysia manakala sektor perairan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Beliau berkata bagi memperkukuh kawal selia terhadap aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal, satu pasukan khas Ops Tiris 4.0 Bersepadu akan ditubuhkan bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.
Katanya, pasukan itu akan dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Persekutuan dan Setiausaha Kerajaan Negeri dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup negeri bertindak sebagai sekretariat serta melibatkan agensi berkaitan di peringkat negeri.
Tambah beliau, beberapa syor strategik hasil mesyuarat itu akan dikemukakan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara secara berkala bagi memastikan kestabilan bekalan negara terus terjamin.
Sementara itu, beliau berkata Ops Tiris 4.0 Bersepadu yang dilaksanakan dari 16 Mac hingga 5 April merekodkan nilai rampasan barangan bersubsidi melebihi RM2 juta hasil daripada 8148 pemeriksaan yang membawa kepada pembukaan 155 kes.
Daripada jumlah itu, sebanyak 60 kes melibatkan diesel dengan nilai rampasan lebih RM2.1 juta, 47 kes RON95 bernilai RM51299, 21 kes gas petroleum cecair bernilai RM37822 serta 27 kes melibatkan minyak masak, gula dan tepung gandum.
Beliau berkata kerajaan peka terhadap ketidaktentuan geopolitik global khususnya konflik di Asia Barat yang berpotensi menjejaskan rantaian bekalan dunia serta mencetuskan ketidakstabilan harga tenaga dan barangan keperluan utama.
Menurutnya, kerajaan tidak akan membiarkan rakyat terkesan akibat gangguan bekalan dan pelbagai langkah strategik telah diperkukuh bagi memastikan bekalan di pasaran tempatan kekal terkawal.